Friday 10 January 2014

NUBE kesal larangan kakitangan Islam tunai solat di premis bank Hong Leong


Abu Bakar Yahaya (duduk empat dari kiri), Abdul Jamil Jalaudden (duduk tiga dari kiri) dan J. Solomon (duduk dua dari kanan) bersama sebahagian pekerja bank yang diberhentikan kerja dalam sidang akhbar di Shah Alam, semalam.



KUALA LUMPUR 9 Jan. - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menyifatkan tindakan Hong Leong Bank Berhad yang didakwa melarang kakitangannya untuk bersolat di premis bank itu sebagai menafikan hak orang Islam.
Timbalan Presidennya, Abdul Jamil Jalaudden berkata, perkara itu jika tidak dibendung, dikhuatiri mendorong syarikat perbankan lain turut melakukan penindasan serupa terhadap kakitangan yang beragama Islam.
Justeru katanya, campur tangan kerajaan amat diperlukan bagi mencapai penyelesaian dalam isu berkenaan.
"Jika kita membenarkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif dari Singapura untuk terus menindas serta menidakkan hak umat Islam untuk beribadat, perkara itu adalah salah.
"Tambahan pula, Hong Leong sendiri menjalankan konsep perbankan Islam dan memiliki jabatan syariah serta mempunyai sebahagian besar pegawai beragama Islam," katanya dalam sidang akhbar pendedahan kepincangan sistem perbankan Islam di sini hari ini.
Abdul Jamil berkata, laporan berhubung insiden itu telah dibuat di pejabat agama di Kuantan dan Kelantan selain membuat laporan polis.
"Isu ini perlu diberi perhatian segera kerana bukan sahaja melibatkan kira-kira 80 peratus mangsa yang bekerja dalam sektor perbankan malah melibatkan kesucian agama Islam.
"Kami juga telah menghantar memorandum kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, kepimpinan negara serta Ketua Pemuda UMNO," jelasnya.
Bagaimanapun, semalam, Hong Leong Bank dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya menghormati agama semua kakitangannya dan tiada halangan pekerja beragama Islam menunaikan solat.
Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan dan Perhubungan Awam bank tersebut, Norlina Yunus, menjelaskan, insiden itu berlaku melibatkan beberapa ahli NUBE yang tidak dibenarkan memasuki surau cawangan mereka di Kelantan dan Kuantan.
Jelasnya, perkara itu berlaku kerana mereka bukannya pekerja di cawangan bank itu.
"Mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan kawalan di mana surau itu berada. Ini merupakan polisi keselamatan standard di mana-mana institusi kewangan," katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan campur tangan kerana 27 pekerja terbabit dinafikan hak mereka dan dipecat hanya kerana enggan akur kepada arahan syarikat untuk berpindah.
Ahli Majlis Dewan Tertinggi Perkasa, Abu Bakar Yahya berkata, pihaknya terpanggil untuk membela nasib mereka atas dasar kemanusiaan dan tindakan bank yang dilihat memperlekehkan Islam.
Menurutnya, kerajaan sehingga kini masih tidak mengambil sebarang tindakan meskipun sudah 25 hari piket diadakan di depan Wisma Hong Leong Bank di Kuala Lumpur oleh NUBE dan pekerja terbabit.
"Tindakan memecat pekerja terbabit salah dari segi undang-undang dan lebih menyedihkan, 10 daripada pekerja itu di Kota Bahru, Kelantan dan empat di Kuantan turut dihalang menunaikan solat dan ini jelas memperlekehkan agama Islam," katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam hari ini.
Yang turut hadir, Abdul Jamil Jalaludeen; Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon dan beberapa pekerja yang telah dipecat.

No comments: